Monday 22 January 2018

21 jan 2018,,mingguan malaysia,ALHAMDULILLAH,,SINPAN BUAT KENANGAN,

MENJELAJAHI SEJARAH ROMAWI DI BUMI TURKI
Bagi sesiapa yang pernah datang ke Turki pasti akan terdetik di hati untuk datang lagi dan lagi. Begitu juga dengan penulis, kunjungan ini adalah yang kali kedua. Turki memang terkenal dengan berbagai budaya serta kaya dengan sejarah silamnya yang berjaya menjadi tarikan para pelancong. Pada 7 Disember, penulis dan rakan- rakan seramai 30 orang yang diketuai oleh Ainun memilih pakej yang ditawarkan oleh V. Reka Travel dengan penerbangan Mahan Air. Kami berlepas dari KLIA pada jam 11.30 malam yang mengambil masa 8 jam untuk transit di lapangan terbang Khomenie, Teheran, Iran. Penerbangan disambung lagi selama 3 jam untuk mendarat di lapangan terbang Altarturk. Istanbul menyambut kami dengan cuaca yang begitu sejuk dan Mr. Servet sedia menunggu dengan atur cara yang padat.
Kota Konstantinopel dahulunya kini lebih dikenali dengan Kota Istanbul banyak menyimpan sejarah seni dan budaya keagungan Islam. Kehebatan tokohnya dari empayar Uthmaniyah. Kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih menawan Kota Konstantinopel iaitu kota dagang terbesar di dunia. Kemenangan tentera Islam dari kesultanan Turki terhadap Romawi Timur (Kristian). Atur cara pertama kami ialah kami dibawa ke istana Tokapi (Tokapi Palace) yang dikelilingi tembok tinggi dipinggir laut Marmara. Istana ini merupakan kediaman rasmi pemerintah Uthmaniyah selama lebih 600 tahun. Selepas jatuhnya pemerintahan Uthmaniyah, istana ini dijadikan sebuah muzium. Seterusnya kami menuju ke Masjid Biru (Blue Mosque) mercu tanda bagi kota Istanbul yang terletak di kawasan taman yang luas. Dengan kesempatan yang ada kami tidak melepaskan peluang untuk solat di masjid yang terkenal. Kemudian, Mr. Servet membawa kami ke restoran yang berdekatan bagi mengisi perut yang mula menyanyi.

Cannakkale
Kota Istanbul di sebelah Eropah masih mempunyai tembok yang tinggi mengelilingi sebahagian kota ini sepanjang  25 KM. Sepanjang perjalanan kami untuk menuju ke Cannakkale, kami dapat menyaksikan tembok yang bersejarah ini. Dalam kegelapan malam, kami tiba di terminal feri untuk menyeberangi laut Marmara yang mengambil masa 45 minit untuk sampai di bumi Turki di benua Asia. Kami bermalam di Cannakkale.
Selepas sarapan, perjalanan seterusnya menuju Kudasi Kota Pergamon di bandar Troy yang lebih dikenali dengan nama Kota Yang Tenggelam. Kudasi juga menjadi lokasi penggambaran filem yang dilakonkan oleh aktor Brad Pitt. Kudasi, sebuah kota yang sarat dengan sejarah dan mitos. Kesan keruntuhan Kota Troy dan tempat terjadinya perang Trojan. Sebuah patung kuda raksasa yang dibuat dari kayu diguanakan oleh tentera Yunani untuk menimbus Kota Troy di Cannakkale. Terdapat serpihan kesan dari keruntuhan tiang dan tembok kota terpenting yang diasaskan oleh kaum penjajah seperti Ephesus, Milatus. Perpustakaan Selsus di Ephesus dibina seawal tahun 135M. Kota Ephesus merupakan tempat popular pra sejarah Yunani Kuno. Kami juga berjalan melalui terowong memasuki ruang ke ruang yang masih terdapat di bawah runtuhan kota ini. Penulis sungguh teruja dapat melihat kesan-kesan sejarah ini di depan mata dan tidak melepaskan pelung untuk mengambil gambar kenangan.
Pengembaraan seterusnya adalah menuju ke Kota Pamukkale dan singgah membeli belah di Leather Product Outlet serta singgah solat di Izmir Selcuk Isabey Mosque yang dibina pada tahun 1374. Seni bina tertua yang sangat menarik di zaman Anotolia. Hari beransur petang, kami ke kawasan pergunungan yang terkenal dengan teres kolam air panas bergaram putih yang bertingkat-tingkat. Ada yang mengambil kesempatan untuk merendam kaki dan merasa sendiri kehangatannya dan merakam gambar-gambar menarik ketika matahari hampir terbenam. Subhanallah, sungguh agung ciptaanMu.
Pada hari keempat, perjalanan menuju ke Kota Konya, jaraknya beratus kilometer. Penulis leka dengan pemandangan yang begitu unik bentuk muka buminya. Ada juga rakan-rakan leka dengan Wifi internet tanpa wayar hanyut di alam maya dan ada juga yang terlena. Kota Konya yang terkenal dengan Wherling Dervish dan Hikayat Ahli Sufi Nasreddin Hoca. Mevlana Museum merupakan pusat pengajian agama Islam dan pembelajaran Ahli Sufi di Turki zaman pemerintahan Uthmaniyah. Hari beransur senja, kami singgah di Carvansari yang dikenali juga dengan laluan sutera oleh pedagang zaman dahulu. Seterusnya kami menginap di Suhan Hotel, Cappadocia.  Seawal pagi, kami ke Jewellery, Seramik Art Gallery, Underground City of Kaynakly, Pigeon Valley, Cgarome Valley, Carpet Factory, Mushroom Valley. Seharian kami dapat menyaksikan keindahan unik yang tiada di tempat lain selain dari Cappadocia. Pada keesokan harinya, acara yang paling dinantikan iaitu menaiki belon udara panas dengan bayaran USD 200. Anda dibawa mengembara terapung diudara merentasi lembah lurah bukit, ladang, kawasan perumahan dan kawasan landskap yang amat menakjubkan.
Hari keenam, destinasi seterusnya adalah ke ibu negara Turki iaitu Ankara. Sebuah kota yang sibuk.  Lawatan seterusnya adalah ke muzium Attarturk dan meneruskan perjalan ke Salt Lake, tasik garam yang sangat luas dengan keluasan 1665 KM persegi, tasik garam terbesar di dunia. Tuzgolu adalah kawasan dilindungi sebagai tapak warisan dunia. Sebelum tiba di hotel penginapan, kami mendapat ‘bonus’, Mr Servet membawa kami ke kawasan yang cukup indah di lereng bukit yang dipenuhi salji, kami menikmati peluang yang ada dengan bermain salji sepuasnya walaupun dalam kesejukan tahap beku. Malamnya, kami menginap di Von Ressort Abant dalam deraian salji yang mula turun. Bas mula bergerak seawal 8 pagi meninggalkan Kota Bolu menuju Istanbul. Kami dibawa ke pengkalan untuk menaiki Cruise dengan cuaca sejuk dan nyaman. Kami dapat menikmati keindahan panorama selat Bosphorus dan kecantikan kota Istanbul di sebelah Eropah dan di sebelah Asia, selat yang memisahkan dua benua. Satu jam masa berlalu begitu cepat sekali.
Acara yang paling dinantikan iaitu membeli belah Grand Bazar yang wujud sejak tahun 1455. Disini syurga untuk membeli belah. Kemudian kami ke Spize Bazar yang menjual berbagai jenis manisan seperti Turkish Delight, kekacang yang berasaskan madu tulen dan Bak Lava. Agak lama kami disini, penulis berkesempatan merasai jus delima asli yang begitu enak. Hari semakin larut, kami kembali ke hotel penginapan berkemas barangan kerana kami akan pulang ke tanah air pada keesokannya. Kembali membawa kenangan dan pengalaman yang sarat. Walaupun pernah datang ke Turki di musim bunga 2013, tempat yang sama tetapi pengalaman kemanisan percutian amat berbeza. Semuanya tetap tersimpan sebagai kamus kenangan.
OLEH: NAIMAH MAHMOOD



No comments:

Post a Comment