Monday 7 August 2017

tuliasan 2 yg pernah tersiar d mingguan Malaysia di ruangan DESTINASI









LAMBAIAN SAKURA DI HAKODATE MENGGAMIT KENANGAN
            Sapporo merupakan Capital City bagi pulau Hokkaido yang terletak di bahagian utara Jepun. Kedudukan bandarayanya sebagai satu destinasi pelancongan yang popular di Hokkaido. Selain Sapporo, ada lagi bandar seperti Asahikawa, Hakodate, Abasiri, Otaru, Wakkanai dan Kushiro dimana setiap bandar mempunyai keunikan daya tarikan tersendiri. Dengan adanya penerbangan tambang murah, semakin ramai rakyat Malaysia yang mampu bercuti ke luar negara begitu juga dengan kami seramai 13 orang mengambil penerbangan Air Asia X. Pengembaraan bermula pada 2 Mei dari KLIA 2 dan berlepas pada pukul 11.35 pm menuju Sapporo yang mengambil masa selama 7 jam 40 minit. Ketibaan kami di lapangan terbang Shi Chitose disambut oleh pemandu pelancong Maria Arsat seorang yang peramah yang telah menetap di Osaka selama 19 tahun. Maria juga begitu fasih berbahasa Jepun walaupun berasal dari Melaka.
            Lawatan pertama dari Sapporo menuju ke Asahikawa. Perjalanan melalui lebuhraya mengambil masa 3 jam. Sepanjang perjalanan, panorama yang indah begitu asing buat penulis. Banjaran gunung-ganang memutih diseliputi salji. Begitu juga di lereng-lereng gunung, kelihatan tompok-tompok salji mula cair menuju ke anak-anak sungai dicelah pokok yang hanya tinggal ranting. SUBHANALLAH !! Cantik sungguh. Sejurus kemudian kelihatan juga kawasan ladang-ladang, sawah padi, gandum dan lain-lain yang begitu luas. Tanahnya yang subur hasil daripada letupan gunung berapi. Kami singgah seketika di Furano City, Lomite Flower Park untuk melihat kawasan semaian bunga Lavender serta membeli-belah di Shikisai No Oka dan kemudian meneruskan perjalanan ke Asahikawa.
            Keesokan harinya, dengan suhu sejuk 8 darjah celcius, kami menuju ke Sounkyo. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit, keindahan panorama taman negara Daisetsozuan yang terbesar di Jepun dikelilingi banjaran gunung Kurodake yang diselaputi salji. Untuk melihat keindahan keseluruhan, kami menaiki Ropeway untuk sampai ke puncak. Penulis begitu teruja melihat salji seperti kapas dan kami bermain salji sepuasnya. Dengan menaiki anak tangga, kami sampai ke tempat yang disediakan untuk merakamkan gambar-gambar yang menarik. Dari sini, keseluruhan muka buminya dapat dilihat sejauh mata memandang.
            Lawatan seterusnya ke Hot Spring Sountya dan Ginga Meter Waterfall yang amat cantik. Terdapat banyak gugusan gunung berapi terhasil dari 30 000 tahun dahulu yang menjadikan muka buminya berlapi-lapis. Setiap kali letupan berlaku, muka buminya akan berubah dan akan kelihatan sangat cantik. Dalam perjalanan pulang Asahikawa, sempat kami singgah Ice Pavillion dan seterusnya ke Asahiyama Zoo dengan harga tiket 1000 yen agak mengecewakan kerana kami tidak dapat melawat keseluruhan zoo. Hari beransur gelap dan kami kesuntukkan masa.
            Pengembaraan seterusnya menuju ke Jigokudani dan Lake Toya mengambil masa 3 jam. Dalam perjalanan kami singgah di Noboribetsu iaitu kawasan banjaran kawah gunung berapi yang masih aktif. Bahan belerangnya memenuhi ruang udara. Bagi yang mengidap asma tidak digalakkan untuk mengunjungi kawasan ini. Noboribetsu lebih dikenali dengan panggilan lembah neraka. Banjaran gunung berapinya wujud beratus-ratus tahun dahulu tetapi ada satu anak gunung berapi yang lahir selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua yang diberi nama Showa Shizan. Kelihatan warnanya kemerah-merahan, tanpa jemu penulis menoleh ke kiri ke kanan tidak mahu terlepas pandang panorama luar biasa dan asing bagi kita rakyat Malaysia. Sejurus kemudian, kami tiba di Lake Toya, sebuah tasik luas yang dikelilingi banjaran gunung bersalji. Pandangan tertumpu pada bentuk gunung seakan tasik Dayang Bunting di Langkawi. Lake Toya adalah kawasan perkelahan. Taman yang cantik, bersih dikelilingi pokok Sakura yang sedang mekar. Kami meneruskan perjalanan dan bermalam di Hakodate City.
            Awal pagi, Maria membawa kami ke singgah ke pasar Hakodate. Seterusnya kami ke Goryokaku sebuah taman bersejarah yang dibuka pada tahun 1913. Terkenal sebagai tempat untuk melihat bunga Sakura. Taman Hanani dipenuhi 1600 pokok Sakura yang dijadikan perkelahan. Sungguh cantik dan nyaman. Sebuah taman yang tersusun berbentuk bintang. Dengan hamparan kuntum-kuntum Sakura menutupi muka bumi. Penulis terasa diri bagaikan dalam mimpi, agak lama kami disini merakamkan detik-detik indah di rimbunan Sakura. Di sini juga terdapat menara Goryokaku, puncak menara berbentuk bintang berdinding kaca setinggi 107 meter. Dari puncak, pengunjung dapat melihat panorama yang begitu jelas gunung Hakodate, selat Tsugaru. Banjaran gunung Yokotsu yang mengelilingi kotaraya Hakodate dan yang paling cantik ialah dapat melihat taman Hanani berbentuk dipenuhi Sakura mekar di bumi. Kata Maria, Hakodate ialah kota romantik.
            Lawatan seterusnya ke puncak gunung Hakodate dengan menaiki Rope Way lebih dikenali sebagai mendaki dengan tali setinggi 334 meter. Alangkah terkejutnya penulis, dipuncaknya sudah dipenuhi ribuan pengunjung yang sedang menunggu untuk menyaksikan saat-saat matahari terbenam. Kota Hakodate terletak di semenanjung Kameda dan gunung Hakodate berada di hujung semenanjung. Kota ini diapit oleh dua bahagian laut. Panorama malam dari puncak gunung memang tiada tandingannya. Sungguh romantik. Pada musim sejuk, cahaya lampu kota ini dipantul oleh salji putih. Sungguh menakjubkan. Jika dibandingkan ditempat-tempat lain di Jepun seperti Tokyo, Osaka dan Hokkaido yang masih bersalji di bulan April dan Mei kerana kedudukannya yang terletak di Utara kawasan angin sejuk dari Siberia dan Rusia.

            Dari Hakodate ke kota raya Sapporo, perjalanan melalui bandar Otaru yang sedang dilanda rebut pasir dari Rusia. Seterusnya kami ke pusat membeli belah di lapangan terbang Chitose. Kemudian Maria membawa kami ke pusat bandar Sapporo, mengunjungi gedung-gedung dan pusat membeli belah. Seharian kami di kota ini, sempat juga ke Masjid An-Noor untuk solat jamak. Kami juga ke menara jam Sapporo, taman Odori Lilac untuk menikmati keindahan taman tulip berbagai warna. Kami juga singgah ke Kitaichi Glass Street dan Music Box Museum. Seharian kami disini dan kembali ke hotel penginapan. Malam terakhir kami disini kerana pagi esoknya kami akan kembali ke tanah air. Percutian terindah terpahat dihati. SAYONARA Sakura !!

No comments:

Post a Comment