Thursday 8 January 2015

percutian di korea di musim salji

KEDINGINAN MALAM DI ‘NAMI ISLAND’
     Sebut sahaja Korea, maka terbayanglah drama-drama romantiknya. Para pelakon yang segak dan yang paling popular sekarang ‘Running Man’. Namun bukan itu tujuan penulis ke sana, hanya ingin bercuti malah hati menjadi teruja dan tidak sabar-sabar ingin menikmati serta melihat sendiri keindahan musim sejuk dibumi Korea.
     Penulis bersama 42 ahli rombongan termasuk anak-anak. Dengan menaiki penerbangan AirAsia, kami berlepas pada jam 4 pagi menuju ke Korea dan tiba di lapangan terbang antarabangsa Incheon pada jam 11 pagi waktu tempatan. Berpeluang menjejakkan kaki di bumi Korea memang menjadi pengalaman paling berharga buat kami. Dengan suhu -5 Celcius dibawah paras beku, bandaraya Seoul diseliputi salji. Melangkah keluar dari lapangan terbang menuju ke bas dengan tiupan angin yang menyapa pipi cukup dingin sehingga ke tulang.
     Dengan menaiki bas menuju ke destinasi sepangjang perjalanan di pinggir bandaraya Seoul, pemandangannya cukup indah. Pokok-pokoknya hanya tinggal dahan dan ranting tanpa sehelai daun. Muka buminya diseliputi salji gebu memutih seperti kapas. Dilereng bukit, sungai dan tasik mulai membeku. Penulis dapat menyaksikan panorama yang cukup asing. Masa 2 jam berlalu begitu mengasyikkan seakan memukau pandangan mata.
     Sebelum ke Pulau Nami, kami dibawa ke lokasi ‘Petite France’, kami diberi masa 1 jam untuk mengabadikan foto-foto yang menarik. Anak-anak begitu teruja bila pertama kali dapat menyentuh salji, keceriaan jelas didepan mata. Pada jam 5 petang, hari mulai gelap. Untuk ke pulau Nami, kami menaiki feri. Dalam kegelapan malam, pandangan agak terbatas terdapat juga unggun api untuk memanaskan badan. Seperti banyak yang dipaparkan pulau Nami cukup indah, deretan pokok-pokok Pine dengan lampu neon dan salji memutih seakan nyawa kepada pulau cinta ini , walaupun dalam kesejukan dan kegelapan malamsempat juga penulis mengabadikan foto-foto kenangan disisi potret lagenda Winter Sonata yang menjadi tumpuan jutaan pengunjung sepanjang tahun. Pulau Nami kekal terpelihara sebagai khazanah negara Korea. Pada keesokan harinya kami meneruskan perjalanan ke taman negara Soerak yang terletak berdekatan dengan hotel penginapan.
     Pemandangan gunung-ganang di sekeliling amat memukau. Bermula di kaki gunung ada anak sungai, air mula membeku di celah-celah batu. Untuk melihat persekitaran yang indah dengan ketinggian 700 meter, perjalanan ke puncak gunung Seorak boleh menggunakan kereta kabel, dengan cuaca sejuk sudah cukup mencengkam hingga ke tulang. Panoramanya indah menyebabkan kesemua kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan.
     Seterusnya kami ke lokasi Teady Bear Farm, kunjungan ke sini memberi peluang mengabadikan foto dan juga sempat kami membeli-belah barangan cenderahati untuk dibawa pulang walaupun harganya agak mahal. Untuk makan tengahari, tidak lengkap jika tidak merasai sendiri makanan tradisi masyarakat Korea. Kimchi merupakan kubis jeruk, makanan musim salji yang mampu tahan berbulan-bulan, pelbagai jenis mee sup, nasi, makanan laut juga disediakan, tidak ketinggalan yang paling popular ialah rumpai laut.
     Aturcara seterusnya ialah ke lokasi bermain ski dan papan luncur dengan kemudahan menyeluruh menyewa peralatan dan bimbingan untuk mencuba aktiviti ekstrem ini. Tergambar keseronokan pada yang berani mencuba hanya sebahagian sahaja yang dapat bertahan selama 1 jam dalam renyai-renyai salji dan kesejukan malam.
     Seawal jam 8 pagi dari pergunungan Soerak kami bertolak ke bandaraya Seoul, perjalanan 2 jam melalui lebuhraya yang diseliputi salji dengan cuaca yang kelabu, kami terlena dibuai mimpi. Tiba di kota Seoul, kami dibawa ke taman tema tertutup ‘Lotte World’ sama juga seperti taman tema di negara lain. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan disini seperti roller coaster, belon udara panas, rumah hantu, ski dan banyak lagi. Pada tingkat yang paling atas, terdapat muzium purba, kedai jualan, restoran, 2 jam masa yang diperuntukkan tidak mencukupi. Masih banyak tempat yang belum dikunjungi. Terhibur juga bila dapat menyaksikan perarakan kereta berhias untuk menyambut Hari Natal. Kemudian kami mengunjungi Deoksu Palace, Blue House, Saranghae (Presidential Museum), Amethyst Factory, Ginseng Central dan masjid tertua di Korea. Selalu terkenal dengan iklim 4 musim, Korea juga kaya dengan tinggalan sejarah. Kami diberi peluang untuk mencuba pakaian tradisional Korea yang dipanggil Han-Bok. Seterusnya kami diberi peluang membeli belah di Dongdemun Market yang tersohor di tengah-tengah kota Seoul. Sebut apa sahaja, segalanya ada disini. Sudah pasti pusat membeli-belah seperti ini menjadi tumpuan untuk berbelanja bagi masyarakat tempatan dan para pelancong seperti kami.

     6 hari bertemankan baju tebal dan sarung tangan, memori cinta ‘Winter Sonata’ tetap segar di ingatan juga menjadi kenangan manis untuk selamanya. Destinasi ini akan dikunjungi lagi oleh penulis jika berkesempatan pada musim bunga. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment