Sapporo merupakan Capital City bagi
pulau Hokkaido yang terletak di bahagian utara Jepun. Kedudukan bandarayanya
sebagai satu destinasi pelancongan yang popular di Hokkaido. Selain Sapporo,
ada lagi bandar seperti Asahikawa, Hakodate, Abasiri, Otaru, Wakkanai dan
Kushiro dimana setiap bandar mempunyai keunikan daya tarikan tersendiri. Dengan
adanya penerbangan tambang murah, semakin ramai rakyat Malaysia yang mampu
bercuti ke luar negara begitu juga dengan kami seramai 13 orang mengambil
penerbangan Air Asia X. Pengembaraan bermula pada 2 Mei dari KLIA 2 dan
berlepas pada pukul 11.35 pm menuju Sapporo yang mengambil masa selama 7 jam 40
minit. Ketibaan kami di lapangan terbang Shi Chitose disambut oleh pemandu
pelancong Maria Arsat seorang yang peramah yang telah menetap di Osaka selama
19 tahun. Maria juga begitu fasih berbahasa Jepun walaupun berasal dari Melaka.
Lawatan pertama dari Sapporo menuju
ke Asahikawa. Perjalanan melalui lebuhraya mengambil masa 3 jam. Sepanjang
perjalanan, panorama yang indah begitu asing buat penulis. Banjaran
gunung-ganang memutih diseliputi salji. Begitu juga di lereng-lereng gunung,
kelihatan tompok-tompok salji mula cair menuju ke anak-anak sungai dicelah
pokok yang hanya tinggal ranting. SUBHANALLAH !! Cantik sungguh. Sejurus
kemudian kelihatan juga kawasan ladang-ladang, sawah padi, gandum dan lain-lain
yang begitu luas. Tanahnya yang subur hasil daripada letupan gunung berapi.
Kami singgah seketika di Furano City, Lomite Flower Park untuk melihat kawasan
semaian bunga Lavender serta membeli-belah di Shikisai No Oka dan kemudian
meneruskan perjalanan ke Asahikawa.
Keesokan harinya, dengan suhu sejuk
8 darjah celcius, kami menuju ke Sounkyo. Perjalanan mengambil masa selama 1
jam 30 minit, keindahan panorama taman negara Daisetsozuan yang terbesar di
Jepun dikelilingi banjaran gunung Kurodake yang diselaputi salji. Untuk melihat
keindahan keseluruhan, kami menaiki Ropeway untuk sampai ke puncak. Penulis
begitu teruja melihat salji seperti kapas dan kami bermain salji sepuasnya.
Dengan menaiki anak tangga, kami sampai ke tempat yang disediakan untuk
merakamkan gambar-gambar yang menarik. Dari sini, keseluruhan muka buminya
dapat dilihat sejauh mata memandang.
Lawatan seterusnya ke Hot Spring Sountya
dan Ginga Meter Waterfall yang amat cantik. Terdapat banyak gugusan gunung
berapi terhasil dari 30 000 tahun dahulu yang menjadikan muka buminya
berlapi-lapis. Setiap kali letupan berlaku, muka buminya akan berubah dan akan
kelihatan sangat cantik. Dalam perjalanan pulang Asahikawa, sempat kami singgah
Ice Pavillion dan seterusnya ke Asahiyama Zoo dengan harga tiket 1000 yen agak
mengecewakan kerana kami tidak dapat melawat keseluruhan zoo. Hari beransur
gelap dan kami kesuntukkan masa.
Pengembaraan seterusnya menuju ke
Jigokudani dan Lake Toya mengambil masa 3 jam. Dalam perjalanan kami singgah di
Noboribetsu iaitu kawasan banjaran kawah gunung berapi yang masih aktif. Bahan
belerangnya memenuhi ruang udara. Bagi yang mengidap asma tidak digalakkan
untuk mengunjungi kawasan ini. Noboribetsu lebih dikenali dengan panggilan
lembah neraka. Banjaran gunung berapinya wujud beratus-ratus tahun dahulu
tetapi ada satu anak gunung berapi yang lahir selepas berakhirnya Perang Dunia
Kedua yang diberi nama Showa Shizan. Kelihatan warnanya kemerah-merahan, tanpa
jemu penulis menoleh ke kiri ke kanan tidak mahu terlepas pandang panorama luar
biasa dan asing bagi kita rakyat Malaysia. Sejurus kemudian, kami tiba di Lake
Toya, sebuah tasik luas yang dikelilingi banjaran gunung bersalji. Pandangan
tertumpu pada bentuk gunung seakan tasik Dayang Bunting di Langkawi. Lake Toya
adalah kawasan perkelahan. Taman yang cantik, bersih dikelilingi pokok Sakura
yang sedang mekar. Kami meneruskan perjalanan dan bermalam di Hakodate City.
Awal pagi, Maria membawa kami ke
singgah ke pasar Hakodate. Seterusnya kami ke Goryokaku sebuah taman bersejarah
yang dibuka pada tahun 1913. Terkenal sebagai tempat untuk melihat bunga
Sakura. Taman Hanani dipenuhi 1600 pokok Sakura yang dijadikan perkelahan.
Sungguh cantik dan nyaman. Sebuah taman yang tersusun berbentuk bintang. Dengan
hamparan kuntum-kuntum Sakura menutupi muka bumi. Penulis terasa diri bagaikan
dalam mimpi, agak lama kami disini merakamkan detik-detik indah di rimbunan
Sakura. Di sini juga terdapat menara Goryokaku, puncak menara berbentuk bintang
berdinding kaca setinggi 107 meter. Dari puncak, pengunjung dapat melihat
panorama yang begitu jelas gunung Hakodate, selat Tsugaru. Banjaran gunung
Yokotsu yang mengelilingi kotaraya Hakodate dan yang paling cantik ialah dapat
melihat taman Hanani berbentuk dipenuhi Sakura mekar di bumi. Kata Maria,
Hakodate ialah kota romantik.
Lawatan seterusnya ke puncak gunung
Hakodate dengan menaiki Rope Way lebih dikenali sebagai mendaki dengan tali
setinggi 334 meter. Alangkah terkejutnya penulis, dipuncaknya sudah dipenuhi
ribuan pengunjung yang sedang menunggu untuk menyaksikan saat-saat matahari
terbenam. Kota Hakodate terletak di semenanjung Kameda dan gunung Hakodate berada
di hujung semenanjung. Kota ini diapit oleh dua bahagian laut. Panorama malam
dari puncak gunung memang tiada tandingannya. Sungguh romantik. Pada musim
sejuk, cahaya lampu kota ini dipantul oleh salji putih. Sungguh menakjubkan.
Jika dibandingkan ditempat-tempat lain di Jepun seperti Tokyo, Osaka dan
Hokkaido yang masih bersalji di bulan April dan Mei kerana kedudukannya yang
terletak di Utara kawasan angin sejuk dari Siberia dan Rusia.
Dari Hakodate ke kota raya Sapporo,
perjalanan melalui bandar Otaru yang sedang dilanda rebut pasir dari Rusia.
Seterusnya kami ke pusat membeli belah di lapangan terbang Chitose. Kemudian
Maria membawa kami ke pusat bandar Sapporo, mengunjungi gedung-gedung dan pusat
membeli belah. Seharian kami di kota ini, sempat juga ke Masjid An-Noor untuk
solat jamak. Kami juga ke menara jam Sapporo, taman Odori Lilac untuk menikmati
keindahan taman tulip berbagai warna. Kami juga singgah ke Kitaichi Glass
Street dan Music Box Museum. Seharian kami disini dan kembali ke hotel penginapan.
Malam terakhir kami disini kerana pagi esoknya kami akan kembali ke tanah air.
Percutian terindah terpahat dihati. SAYONARA Sakura !!
No comments:
Post a Comment