KEDINGINAN MALAM DI ‘NAMI ISLAND’
Sebut
sahaja Korea, maka terbayanglah drama-drama romantiknya. Para pelakon yang
segak dan yang paling popular sekarang ‘Running Man’. Namun bukan itu tujuan
penulis ke sana, hanya ingin bercuti malah hati menjadi teruja dan tidak
sabar-sabar ingin menikmati serta melihat sendiri keindahan musim sejuk dibumi
Korea.
Penulis
bersama 42 ahli rombongan termasuk anak-anak. Dengan menaiki penerbangan
AirAsia, kami berlepas pada jam 4 pagi menuju ke Korea dan tiba di lapangan
terbang antarabangsa Incheon pada jam 11 pagi waktu tempatan. Berpeluang
menjejakkan kaki di bumi Korea memang menjadi pengalaman paling berharga buat
kami. Dengan suhu -5 Celcius dibawah paras beku, bandaraya Seoul diseliputi
salji. Melangkah keluar dari lapangan terbang menuju ke bas dengan tiupan angin
yang menyapa pipi cukup dingin sehingga ke tulang.
Dengan
menaiki bas menuju ke destinasi sepangjang perjalanan di pinggir bandaraya
Seoul, pemandangannya cukup indah. Pokok-pokoknya hanya tinggal dahan dan
ranting tanpa sehelai daun. Muka buminya diseliputi salji gebu memutih seperti
kapas. Dilereng bukit, sungai dan tasik mulai membeku. Penulis dapat
menyaksikan panorama yang cukup asing. Masa 2 jam berlalu begitu mengasyikkan
seakan memukau pandangan mata.
Sebelum ke
Pulau Nami, kami dibawa ke lokasi ‘Petite France’, kami diberi masa 1 jam untuk
mengabadikan foto-foto yang menarik. Anak-anak begitu teruja bila pertama kali
dapat menyentuh salji, keceriaan jelas didepan mata. Pada jam 5 petang, hari
mulai gelap. Untuk ke pulau Nami, kami menaiki feri. Dalam kegelapan malam,
pandangan agak terbatas terdapat juga unggun api untuk memanaskan badan. Seperti
banyak yang dipaparkan pulau Nami cukup indah, deretan pokok-pokok Pine dengan
lampu neon dan salji memutih seakan nyawa kepada pulau cinta ini , walaupun
dalam kesejukan dan kegelapan malamsempat juga penulis mengabadikan foto-foto
kenangan disisi potret lagenda Winter Sonata yang menjadi tumpuan jutaan
pengunjung sepanjang tahun. Pulau Nami kekal terpelihara sebagai khazanah
negara Korea. Pada keesokan harinya kami meneruskan perjalanan ke taman negara
Soerak yang terletak berdekatan dengan hotel penginapan.
Pemandangan
gunung-ganang di sekeliling amat memukau. Bermula di kaki gunung ada anak
sungai, air mula membeku di celah-celah batu. Untuk melihat persekitaran yang
indah dengan ketinggian 700 meter, perjalanan ke puncak gunung Seorak boleh
menggunakan kereta kabel, dengan cuaca sejuk sudah cukup mencengkam hingga ke
tulang. Panoramanya indah menyebabkan kesemua kami tidak melepaskan peluang
untuk merakamkan foto kenangan.
Seterusnya
kami ke lokasi Teady Bear Farm, kunjungan ke sini memberi peluang mengabadikan
foto dan juga sempat kami membeli-belah barangan cenderahati untuk dibawa
pulang walaupun harganya agak mahal. Untuk makan tengahari, tidak lengkap jika
tidak merasai sendiri makanan tradisi masyarakat Korea. Kimchi merupakan kubis
jeruk, makanan musim salji yang mampu tahan berbulan-bulan, pelbagai jenis mee
sup, nasi, makanan laut juga disediakan, tidak ketinggalan yang paling popular
ialah rumpai laut.
Aturcara
seterusnya ialah ke lokasi bermain ski dan papan luncur dengan kemudahan
menyeluruh menyewa peralatan dan bimbingan untuk mencuba aktiviti ekstrem ini.
Tergambar keseronokan pada yang berani mencuba hanya sebahagian sahaja yang
dapat bertahan selama 1 jam dalam renyai-renyai salji dan kesejukan malam.
Seawal jam
8 pagi dari pergunungan Soerak kami bertolak ke bandaraya Seoul, perjalanan 2
jam melalui lebuhraya yang diseliputi salji dengan cuaca yang kelabu, kami
terlena dibuai mimpi. Tiba di kota Seoul, kami dibawa ke taman tema tertutup
‘Lotte World’ sama juga seperti taman tema di negara lain. Banyak aktiviti yang
boleh dilakukan disini seperti roller coaster, belon udara panas, rumah hantu,
ski dan banyak lagi. Pada tingkat yang paling atas, terdapat muzium purba,
kedai jualan, restoran, 2 jam masa yang diperuntukkan tidak mencukupi. Masih
banyak tempat yang belum dikunjungi. Terhibur juga bila dapat menyaksikan
perarakan kereta berhias untuk menyambut Hari Natal. Kemudian kami mengunjungi
Deoksu Palace, Blue House, Saranghae (Presidential Museum), Amethyst Factory,
Ginseng Central dan masjid tertua di Korea. Selalu terkenal dengan iklim 4
musim, Korea juga kaya dengan tinggalan sejarah. Kami diberi peluang untuk
mencuba pakaian tradisional Korea yang dipanggil Han-Bok. Seterusnya kami
diberi peluang membeli belah di Dongdemun Market yang tersohor di tengah-tengah
kota Seoul. Sebut apa sahaja, segalanya ada disini. Sudah pasti pusat
membeli-belah seperti ini menjadi tumpuan untuk berbelanja bagi masyarakat
tempatan dan para pelancong seperti kami.
6 hari
bertemankan baju tebal dan sarung tangan, memori cinta ‘Winter Sonata’ tetap
segar di ingatan juga menjadi kenangan manis untuk selamanya. Destinasi ini
akan dikunjungi lagi oleh penulis jika berkesempatan pada musim bunga.
Insyaallah.
No comments:
Post a Comment